TOPIK

TOPIK TAHUNAN 2018

PRINSIP RANGKUMAN DAN KECUALIAN (INCLUSION AND EXCLUSION PRINCIPLE)



Prinsip Rangkuman dan Kecualian ialah suatu prinsip pengiraan yang menekankan latihan penguasaan pemikiran alternatif perangkuman dan pengecualian sesuatu unsur dalam satu kumpulan. Topik ini memperkenalkan konsep-konsep asas ke arah pembentukan satu rumusan permulaan dalam Prinsip Rangkuman dan Kecualian. Pada akhir pembelajaran, topik ini dapat melatih pelajar berkeupayaan untuk menggunakan konsep Prinsip Rangkuman dan Kecualian secara kreatif semasa menyelesaikan masalah matematik yang berkaitan.

KAEDAH PERHITUNGAN (ENUMERATION METHOD)


Walaupun dinamakan sebagai satu kaedah perhitungan, topik ini amat menekankan latihan penguasaan kebolehan berfikir secara menyeluruh dan kreatif dalam kalangan pelajar. Masalah-masalah matematik yang berkaitan dengan topik ini memerlukan pelajar berfikir ke arah pembentukan kebolehan menghasilkan satu gambaran menyeluruh mengenai keadaan masalah mahupun menghasilkan semua kombinasi penyelesaian yang bermungkinan.  Pada akhir pembelajaran, pelajar akan dapat menguasai konsep asas beberapa strategi dalam menghasilkan satu gambaran menyeluruh yang kreatif dan bersesuaian dengan masalah dan seterusnya dapat mendeduksikan kesemua-semua kombinasi penyelesaian yang bermungkinan.

PRINSIP LACI (PIGEON HOLE PRINCIPLE)



Prinsip Laci ialah suatu prinsip pemikiran yang melibatkan pengenalpastian kewujudan sesuatu fenomena. Kenyataan berikut mencerminkan Princip Laci dengan jelas sekali:
“Sekiranya kita meletakkan benda ke dalam laci dengan bilangan benda melebihi bilangan laci, sekurang-kurangnya satu laci akan mempunyai dua atau lebih benda.”
Topik ini memperkenalkan konsep asas dan penggunaan Prinsip Laci dalam penyelesaian masalah matematik. Pada akhir pembelajaran, topik ini dapat melatih pelajar memodelkan masalah yang bersesuaian dengan Prinsip Laci dan seterusnya mencetus buah fikiran penyelesaian yang kreatif.